2024-08-06 berita.rtm.gov.my HaiPress

FOTO BERNAMA
KUALA LUMPUR,6 Ogos - Peruntukan tambahan diperlukan untuk menaik taraf infrastruktur dan kemudahan pusat latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pembinaan sedia ada bagi memastikan ia memenuhi keperluan pembelajaran serta mematuhi piawaian antarabangsa.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kementeriannya melalui Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah mengenal pasti keperluan kemudahan dan infrastruktur pusat latihan dengan mengambil kira unjuran pelatih berkemahiran selaras dengan Dasar TVET Negara 2030.
Jelasnya sehingga kini,CIDB membelanjakan lebih RM800 juta untuk memberi latihan kepada belia dan personel binaan melibatkan lebih 100 bidang kemahiran pembinaan di enam buah Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan CIDB Technologies di seluruh negara.
"Malah setakat tahun 2023,CIDB juga telah membelanjakan lebih RM80 juta untuk pembangunan kemudahan bagi memastikan latihan yang diberikan berkualiti dan relevan dengan keperluan industri.
"Jadi kita harap kerajaan dapat mempertimbangkan peruntukan tambahan untuk membina ABM di Sabah dan Selangor selain menaik taraf pusat latihan sedia ada," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Slogan 'CIDB Peneraju TVET Pembinaan' bersempena Majlis Graduasi Akademi Binaan Malaysia (ABM) & CIDB Technologies 2024 yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini.
Purata kebolehpasaran graduan TVET pembinaan ABM dan CIDB Technologies adalah melebihi 85 peratus dan ini membuktikan tahap kualiti latihan serta kemahiran ditawarkan sayap pendidikan TVET itu relevan dan memenuhi keperluan industri,kata Nanta.
"Kerjasama dengan rakan industri juga memainkan peranan penting dalam kejayaan ini.
"Ramai pelatih ini telah ditaja dan diambil bekerja oleh syarikat-syarikat terkemuka dalam industri seperti Yayasan Sime Darby,MRCB (Malaysian Resources Corporation Berhad) dan banyak lagi," katanya.
Dalam pada itu,beliau turut memaklumkan CIDB juga menawarkan dua program iaitu Accelerator Programme for Construction Entrepreneurs (ACE) dan Program Skilltechpreneur Akademi Binaan Malaysia bagi mereka yang meminati bidang keusahawanan inovatif.
Justeru itu beliau berkata komitmen KKR melalui CIDB bagi membangunkan tenaga kerja berkemahiran yang mencapai standard industri pembinaan wajarlah diangkat sebagai peneraju TVET pembinaan.
Pada majlis itu,seramai 150 graduan menerima Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan (SKKP) termasuk 15 graduan cemerlang yang terdiri daripada pelbagai jenis kemahiran antaranya jurujaga,pengoperasi kren,pemasang paip gas,pengimpal pemasangan paip,perancah.
Sultan Pahang titah solat hajat di semua masjid, doa jerebu Sarawak pulih
Taska di Sarawak tutup serta-merta jika IPU cecah 200
Sambutan Hari RTM ke-80, Bulan Kebangsaan 2026 di Terengganu meriah
Mansuh AUKU: Mahasiswa mahu kebebasan bersuara seiring tanggungjawab
PM Anwar, isteri hayati seni batik Brunei
Sukan Bendang disertai lebih 2,000 peserta, perkukuh perpaduan
©hak cipta2009-2020 Forum Teknologi Malaysia Timur