2024-08-19 berita.rtm.gov.my HaiPress

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
JITRA,19 Ogos- Siasatan terhadap kes membabitkan dua kanak-kanak maut selepas termakan keropok beracun di Kampung Padang Ubi,Labu Besar,Kulim,Kedah pada Julai lalu dilakukan berlandaskan undang-undang.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata,beliau yakin pihak polis telah mengguna pakai seksyen dan akta bersesuaian dengan kes berkenaan.
Ia termasuk berkaitan tempoh dan perintah tahanan reman yang dikenakan ke atas seorang individu yang juga seorang pemilik kebun.
"Jadi kalau ada kewajaran untuk melanjutkan tempoh reman dan sebagainya itu bergantung kepada budi bicara pegawai penyiasat sesuai dengan kes disiasat.
"Tetapi kalau ada dalam kalangan mereka yang disiasat melahirkan rasa tidak puas hati,dia mempunyai maklumat bahawa bukan sekadar dia misalnya,ada pihak lain (terlibat). Dia boleh menyampaikan kepada pihak polis. Siasatan ini sesuatu yang bersifat progresif,bukan statik atau tamat disitu," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2024 peringkat Negeri Kedah di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah,di sini.
Saifuddin mengulas tindakan seorang pekebun yang memuat naik video di laman Facebook 'Uzair Shafawi' menyatakan rasa tidak puas hati kerana hanya dirinya ditahan reman.
Sebaliknya ibu bapa serta penjaga kanak-kanak itu tidak ditahan kerana mengabaikan mangsa sehingga maut.
Dalam kejadian Julai lepas,Muhammad Akil Syauqi,3 tahun,dan adiknya Muhammad Luth Syauqi,2 tahun,meninggal dunia selepas termakan keropok dicampur racun tikus yang diletakkan untuk memerangkap monyet liar di kawasan kebun di Kampung Padang Ubi,Kulim.
Susulan kejadian itu,seorang pekebun berusia 33 tahun direman pada 11 Julai lalu bagi membantu siasatan.
Kes disiasat bawah Seksyen 31(1)(a) Akta 611 berkaitan pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan.
Empat langkah tangani krisis air sawah Perak Tengah
KPT sokong inisiatif MAHSA, Micro-Credential jadi pemangkin ‘upskilling’
AS digesa tarik balik tekanan terhadap Malaysia
Peruntukan pertahanan meningkat 35 peratus, tertinggi dalam sejarah
Karnival Masjid Negara 2026 perkasa masjid sebagai pusat komuniti
SK Bukit Pantai terima blok baharu ganti bangunan rosak akibat anai-anai
©hak cipta2009-2020 Forum Teknologi Malaysia Timur