2024-09-04 berita.rtm.gov.my HaiPress

Foto Hiasan
KUALA LUMPUR,4 Sept (Bernama) -- Mahkamah Tinggi,di sini hari ini menetapkan 28 Oktober bagi keputusan permohonan kebenaran semakan kehakiman Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membatalkan prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengendalian isu kedaulatan Pulau Batu Puteh,Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Hakim Datuk Amarjeet Singh menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah peguam bekas perdana menteri itu Zainur Zakaria yang dibantu Muhammad Rafique Rashid Ali dan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili Jabatan Peguam Negara.
Dr. Mahathir memfailkan permohonan itu pada 5 Jun lepas,menamakan Pengerusi RCI Tun Md Raus Sharif dan Timbalannya Tan Sri Zainun Ali masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.
Responden ketiga hingga kelapan ialah anggota RCI iaitu Datuk Dr Baljit Singh Sidhu,Datuk Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin,Prof Datin Dr Faridah Jalil,Datuk Mohammed Ridha Ham Abd Kadir,Dickson Dollah,dan Setiausaha RCI Zamri Misman.
Semasa prosiding hari ini,Shamsul berhujah bahawa perkara itu kini bersifat akademik kerana siasatan telah selesai dan laporan sudah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 12 Ogos lepas.
"Dapatan siasatan dijangka dibentang dan dibahaskan di Parlimen pada Oktober," kata Shamsul.
Bagaimanapun,Zainur berhujah bahawa perkara itu belum lagi bersifat akademik kerana Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) adalah satu keperluan statutori dan ketidakpatuhan boleh menyebabkan prosiding terbatal.
"Anak guam saya ialah subjek dalam siasatan ini,tetapi beliau tidak dibenarkan mempunyai representasi undang-undang dalam RCI tertutup," katanya.
Pada 12 Jun,Dr Mahathir memberi keterangan di hadapan suruhanjaya selepas Hakim Amarjeet menolak permohonan beliau dua kali untuk menangguhkan prosiding RCI.-BERNAMA
Empat langkah tangani krisis air sawah Perak Tengah
KPT sokong inisiatif MAHSA, Micro-Credential jadi pemangkin ‘upskilling’
AS digesa tarik balik tekanan terhadap Malaysia
Peruntukan pertahanan meningkat 35 peratus, tertinggi dalam sejarah
Karnival Masjid Negara 2026 perkasa masjid sebagai pusat komuniti
SK Bukit Pantai terima blok baharu ganti bangunan rosak akibat anai-anai
©hak cipta2009-2020 Forum Teknologi Malaysia Timur