2024-09-04 berita.rtm.gov.my HaiPress
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail/FOTO BERNAMA
TANAH MERAH,4 September - Proses siasatan kes pemerdagangan manusia di Myanmar yang didakwa membabitkan bekas Timbalan Menteri dilakukan secara tertib dan cermat dengan mengambil kira semua aspek.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata,sehingga kini pihak terlibat sudah diambil keterangan manakala beberapa individu turut akan dipanggil berbuat demikian selepas ini.
"Amalan siasatan polis ini mereka akan melihat dalam semua aspek termasuk mengesan penulis artikel itu,jadi apabila semua pihak boleh beri kerjasama maka pihak polis akan melengkapkan siasatan," kata Saifuddin kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Baitul Mahabbah Tanah Merah.
Mengulas lanjut beliau berkata,sekiranya semua pihak memberikan kerjasama polis akan melengkapkan kertas siasatan dalam tempoh munasabah.
Media sebelum ini melaporkan,Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan beberapa penulis artikel dari negara jiran Indonesia bagi membantu siasatan kes pemerdagangan manusia di Myanmar yang didakwa membabitkan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan suami.
Sementara itu,Saifuddin berkata trend jenayah rentas sempadan terutama pemerdagangan manusia membabitkan rakyat Malaysia semakin meningkat.
Antara negara yang dikesan adalah negara terletak bersempadan seperti Thailand dan Myanmar.
Menurutnya isu berkenaan dinamik kerana banyak rakyat Malaysia terlibat dan ada senarai yang sedang diselamatkan selain ada yang sudah diselamatkan.
Dalam perkembangan berasingan Saifuddin berkata,kerajaan sedang berusaha untuk membawa pulang tujuh rakyat Malaysia yang ditahan bersama-sama lapan warga China di Filipina,Ahad lalu.
"Kita kenal pasti siapa syarikat ejen pelancongan yang menguruskan. Kita akan menghubungi Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah yang mengawal sempadan laut kita dengan sempadan laut negara jiran. Jadi urusan kita adalah berusaha untuk mendapatkan mereka ini dibawa balik," katanya.
Terdahulu media melaporkan,pihak berkuasa Filipina menahan 15 individu termasuk tujuh rakyat Malaysia selepas disyaki memasuki perairan negara itu secara haram,Ahad lalu.
Selain rakyat Malaysia,baki lapan lagi yang ditahan membabitkan warga China.
Memetik laporan Philippines News Agency (PNA) Pesuruhjaya Biro Imigresen (BI) Filipina,Norman Tansingco,melalui kenyataan berkata mereka ditahan Pihak Berkuasa Maritim,Tentera Laut Filipina dan Tentera Darat Filipina di kawasan perairan Sitangkai,dekat Tawi-Tawi di Wilayah Selatan negara berkenaan.
Kesemua mereka yang tidak memiliki dokumen sah itu didapati memasuki wilayah Filipina dengan menaiki dua bot laju.
Niaga hadapan emas ditutup tinggi
Ringgit dibuka mendatar berbanding dolar AS
ASB catat 11.1 juta pelabur, 173.8 bilion unit dilanggan
Projek Fasa 1B Lebuhraya Pan Borneo Sabah ikut prosedur MOF - Nanta
Dua cedera, enam kenderaan musnah terbakar di Labuan
Op Khas Motorsikal JPJ : 37,708 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan
©hak cipta2009-2020 Forum Teknologi Malaysia Timur