Program HISHAJ anjuran TH erat silaturahim jemaah haji

2024-09-08 berita.rtm.gov.my HaiPress

Majlis Penutup Program HISHAJ Peringkat Negeri Selangor di Masjid Kampung Raja Uda dekat Klang hari ini

KLANG,8 SEPTEMBER- Lembaga Tabung Haji (TH) menganjurkan Program Himpunan Persaudaraan Hujjaj (HISHAJ) secara berperingkat di lebih 70 buah masjid terpilih di seluruh negara bermula dari 31 Julai sehingga hari ini.

Dengan mengangkat tema "Haji dan Hijrah",program berkenaan menghimpunkan kembali para jemaah haji bagi tahun 1445H yang lalu dengan tujuan untuk memperkukuh jalinan silaturahim ke arah jemaah haji soleh dan musleh.

Majlis Penutup Program HISHAJ Peringkat Negeri Selangor di Masjid Kampung Raja Uda di sini hari ini telah dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Syed Hamadah Syed Othman bersama barisan pengurusan kanan TH.

Mohd Na'im dalam ucapannya mengingatkan para jemaah untuk memahami,menjiwai dan seterusnya mengamalkan segala pengajaran dan falsafah ibadat haji yang telah dilaksanakan.

"Saya berharap para jemaah sekalian akan terus berpegang teguh pada perlakuan manasik dan falsafah haji yang telah diterapkan sepanjang berada di Tanah Suci.

"Haji yang mabrur tidak hanya terbatas kepada melakukan manasik haji di tanah suci dengan sebaiknya,tetapi memerlukan jemaah haji untuk terus istiqamah setelah pulang ke tanah air," kata beliau.

Selain itu beliau turut mengharapkan agar ikatan ukhuwah dan hubungan silaturahim tidak terhenti di tanah suci,tetapi haruslah dijaga dengan baik dan diteruskan untuk mengekalkan tali persaudaraan.

"Semoga para jemaah haji Malaysia dapat terus kekal istiqamah dalam membuat amalan kebaikan dan mengekalkan nilai-nilai mahmudah dalam diri. Saya berdoa agar kehidupan kita semua dirahmati dan amalan kita diterima oleh Allah SWT hendaknya," tambah beliau lagi.

Sementara itu Syed Hamadah berkata program terbabit memberi peluang kepada TH untuk mendapatkan maklum balas daripada para jemaah serta mencari ruang penambahbaikan bagi meningkatkan penyampaian kualiti perkhidmatan terbaik kepada para jemaah yang akan datang.

"Bagi persediaan musim haji 1446H,TH telah menyusun program Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-41 bagi membincangkan permasalahan dan isu ibadat yang timbul dalam kalangan Jemaah Haji Malaysia. Resolusi muzakarah ini akan menjadi panduan bagi operasi haji tahun semasa,khususnya kepada para pembimbing dan jemaah haji," kata beliau.

"TH akan meneruskan bimbingan haji kepada bakal-bakal haji 1446H dengan penganjuran Kursus Asas Haji yang menampilkan 13 topik yang akan dikongsikan bersama jemaah di seluruh negara melibatkan lebih dari 200 buah masjid. Insya-Allah,kursus ini dijadualkan bermula bulan Oktober tahun ini," jelas beliau lagi.



Dr Mohd Na'im Mokhtar
Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.

©hak cipta2009-2020 Forum Teknologi Malaysia Timur