Rakyat perlu diberi kefahaman tentang sejarah negara - TPM

2024-09-19 berita.rtm.gov.my HaiPress

Foto Zahid Hamidi

SHAH ALAM,19 September- Jabatan Arkib Negara (ANM) di bawah Kementerian Perpaduan Negara disarankan memberi kefahaman tentang sejarah negara kepada rakyat.

Timbalan Perdana Menteri,Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ini terutama kepada pegawai-pegawai yang terlibat dalam pembuatan kertas-kertas dasar atau polisi negara.

Ia bertujuan menangani isu-isu penyelewengan fakta sejarah negara yang boleh menganggu gugat kestabilan,keamanan dan keharmonian perpaduan rakyat.

Tegas beliau,fakta sejarah tidak boleh dipadam hanya disebabkan berlainan pegangan politik dan fakta itu perlu kekal untuk diketahui generasi akan datang.

Tambahnya,perpecahan perkauman dan politik berlebihan yang tidak dibendung dengan segera,boleh mengancam hubungan harmoni pelbagai kaum di negara ini.

"Kerajaan memandang serius dan memikirkan keperluan untuk para sejarawan duduk bersama-sama di bawah satu bumbung melalui Jawatankuasa Sejarah Negara atau Majlis Sejarawan Negara.

"Saya bersetuju dengan menteri bahawa kita mesti menjadikan kedua-dua badan ini,khususnya Majlis Sejarawan Negara,sebagai badan autoriti yang paling unggul untuk memastikan sejarah negara kita ditulis berdasarkan fakta,dengan mengetepikan sebarang perbezaan,terutamanya daripada segi ideologi politik," katanya selepas menyampaikan ucapan dalam perasmikan majlis Konvensyen Sejarah dan Perpaduan Nasional 2024 di sini.

Dalam pada itu,Ahmad Zahid memaklumkan bahawa peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu dipertingkat dalam semua aspek penjagaan kanak-kanak.

Ini termasuk isu berkaitan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) agar pembentukan sahsiah dan peribadi tidak diketepikan supaya masa depan mereka dapat dibina semula.

"Itulah keprihatinan yang disebut oleh Datuk Seri Nancy Shukri semalam dan beliau mengambil beberapa peranan proaktif bukan hanya sekadar menyelamatkan kanak-kanak itu atau mereka yang berada dalam usia umur yang harus dijaga oleh ibu bapa," katanya.

Sementara itu,ketika ditanya sama ada kerajaan akan meneliti garis panduan penubuhan rumah amal,beliau berkata Kabinet ada membincangkan perkara tersebut dan melihat aspek yang berbeza dalam pembahagian tugasan mengikut skop agensi dan jabatan yang terlibat.

Terdahulu menerusi Op Global baru-baru ini,Ketua Polis Negara,Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata seramai 171 individu ditahan selepas polis menyerbu 20 rumah amal di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISBH.

Selain itu,seramai 402 orang; masing-masing 201 individu lelaki dan wanita berumur setahun hingga 17 tahun telah diselamatkan dan ditempatkan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.

©hak cipta2009-2020 Forum Teknologi Malaysia Timur