GISBH : Sultan Selangor dukacita, titah tindakan tegas pihak lakukan jenayah libat kanak-kanak, ajaran sesat

2024-09-21 berita.rtm.gov.my HaiPress

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah

KUALA LUMPUR,21 September- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita dengan berita berkaitan siasatan pihak polis terhadap kegiatan jenayah oleh GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan rangkaiannya.

Baginda bertitah semua perbuatan jenayah serius yang dikaitkan dengan GISBH berdasarkan hasil siasatan polis,telah mencemar nama baik dan kesucian agama Islam.

“Pelbagai keterangan telah ditemukan yang menjurus kepada kesalahan-kesalahan jenayah yang disyaki telah dilakukan seperti penderaan terhadap para pelajar,eksploitasi terhadap kanak-kanak,buruh paksa,kesalahan jenayah seksual termasuk liwat dilakukan di beberapa buah rumah amal,termasuk sekolah agama Islam bawah pengawalan GISBH,” titah baginda hari ini.

Baginda bertitah kesalahan berhubung dengan amalan yang bertentangan dengan akidah agama Islam juga dikesan dan disyaki dilakukan di beberapa premis kumpulan GISBH.

“Menurut laporan yang Beta terima,kebanyakan daripada rumah amal di bawah pengawalan GISBH yang terlibat di dalam siasatan,telah lama beroperasi di beberapa buah negeri di negara ini khususnya negeri Selangor tanpa pendaftaran seperti keperluan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

"Beta berasa kesal dan kecewa kerana perkara ini telah berlanjutan untuk suatu tempoh yang lama dan tiada tindakan berkesan diambil untuk menangani perkara ini. Kita perlu menerima hakikat bahawa kelewatan menangani perkara ini menunjukkan kelemahan dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan undang- undang oleh agensi-agensi agama terhadap rumah amal dan sekolah agama Islam yang berkaitan dengan GISBH dan rangkaiannya sehingga menyebabkan perkara ini menjadi begitu serius dan tidak terkawal," titah baginda.

Menyedari isu yang berlaku ini adalah satu perkara yang serius,jelas kenyataan itu lagi,Sultan Sharafuddin telah memanggil mengadap Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS),Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS),Ketua Polis Selangor dan beberapa anggota MAIS di dalam satu mesyuarat bagi mendapatkan maklumat lengkap berhubung perkara ini dan mengenal pasti langkah-langkah segera yang perlu diambil bagi menangani perkara serta melibatkan umat Islam di negara ini.

Susulan itu,baginda telah menitahkan agar semua agensi agama Islam Selangor iaitu MAIS,JAIS,Jabatan Mufti Selangor dan Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor bersama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (Kontinjen Selangor dan Bukit Aman) untuk bekerjasama mengambil langkah serius menyiasat secara mendalam bagi memastikan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan kesalahan jenayah ini diheret ke mahkamah dan didakwa.

Pada masa yang sama,sebagai langkah pencegahan bagi mengelak kanak-kanak yang terlibat dari terus dianiayai,Sultan Selangir turut telah menitahkan agar semua rumah amal dan sekolah Islam yang di bawah kawalan GISBH dan rangkaiannya yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat dengan apa-apa kegiatan jenayah termasuk jenayah syariah hendaklah diarah ditutup dengan segera dan tidak dibenarkan beroperasi di Negeri Selangor.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor juga digesa untuk mengkaji dan meneliti bagi memutuskan persoalan berkaitan amalan GISBH sama ada ianya menyeleweng atau bercanggah dengan ajaran agama Islam yang sebenar.

Sultan Sharafuddin juga menasihati ibu bapa dan penjaga yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah agama atau pusat-pusat penjagaan amal agar menyemak latar belakang sesebuah sekolah atau pusat penjagaan amal tersebut agar tidak terjebak dengan sekolah dan pusat jagaan yang tidak berdaftar dan melaksanakan program dan pembelajaran yang meragukan.

"Ini adalah untuk memastikan anak-anak tersebut dididik dan dijaga dengan sewajarnya serta mengelak berlaku pengabaian dan eksploitasi terhadap anak-anak tersebut. Ingatlah bahawa anak-anak tersebut adalah suatu amanah daripada Allah SWT dan ibu bapa serta penjagalah yang bertanggungjawab untuk mencorak masa depan yang baik untuk anak-anak tersebut.

"Beta ingin memberi peringatan sekali lagi kepada semua pihak khususnya pihak berkuasa agama untuk memandang serius mengenai isu-isu yang berkaitan dengan tindak-tanduk kumpulan GISBH ini terutama apabila melibatkan kanak-kanak dan ajaran sesat yang disyaki diamalkan oleh mereka.

"Tindakan segera dan tegas tanpa sebarang kompromi perlu dilakukan di bawah undang-undang terhadap mana-mana pihak yang melakukan jenayah terhadap kanak-kanak dan amalan- amalan yang bertentangan dengan akidah demi memelihara kesucian agama Islam.

"Beta tidak mahu kita hanya diumpamakan sebagai "tin kosong" yakni hanya pandai bercakap tetapi tiada hasilnya. Kita hendaklah berpegang kepada prinsip "walk the talk or putting your words into action".

"Di samping itu Beta juga menyeru agar semua agensi penguatkuasa agama dan pihak polis agar menjalankan penyiasatan dengan telus dan sentiasa memelihara integriti dan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada mereka," titah baginda.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.

©hak cipta2009-2020 Forum Teknologi Malaysia Timur