2024-11-12 HaiPress

FOTO HIASAN
KUALA LUMPUR,12 November- Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS pada Selasa,didorong oleh penyusutan sementara pengukuhan mata wang Amerika Syarikat (AS) itu selepas lonjakan yang dipacu oleh pilihan raya,kata penganalisis.
Penganalisis berkata pembetulan pasaran menyokong peningkatan kecil ringgit memandangkan peniaga menyesuaikan kedudukan mereka berikutan turun naik pasaran mata wang baru-baru ini.
Pada 8.05 pagi,ringgit meningkat sedikit kepada 4.4080/4200 berbanding dolar AS daripada 4.4090/4120 semasa ditutup pada Isnin.
Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes memberitahu Bernama kekuatan dolar AS telah diperkukuh dengan spekulasi mengenai potensi pengenalan semula tarif pada era Donald Trump.
“Senario ini secara umumnya tidak memberikan kelebihan kepada ekonomi yang bergantung kepada eksport di ASEAN,” katanya.
Innes berkata peningkatan terbaru dolar AS pada awalnya tercetus berikutan desas-desus pada lewat Jumaat bahawa Trump yang memenangi pilihan raya presiden AS mungkin mengembalikan Robert Lighthizer,yang dikenali sebagai "Tariff Titan," sebagai wakil perdagangan.
“Walaupun Reuters segera meredakan keterujaan itu dengan penafian daripada sumber dalaman,kalangan peniaga pertukaran asing (FX) tetap berhati-hati.
“Sekiranya Lighthizer kembali,pentadbiran Trump yang kedua mungkin akan melaksanakan pendirian yang lebih agresif terhadap perdagangan global,yang boleh menyebabkan ketidaktentuan di pasaran FX Asia memandangkan mereka bersedia menghadapi keadaan yang mencabar,” katanya.
Pada pembukaan dagangan,ringgit kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6735/6890 daripada 5.6872/6910 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.6998/7126 daripada 4.7088/7120 semasa ditutup pada Isnin.
Bagaimanapun,ia menurun sedikit berbanding yen Jepun,susut kepada 2.8705/8785 daripada 2.8701/8722 sebelum ini.
Ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN.
Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3056/3151 daripada 3.3120/3148 dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.7698/8138 daripada 12.8243/8390 semasa ditutup pada Isnin.
Ia hampir tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 7.52/7.54 daripada 7.52/7.53 dan kebanyakannya stabil berbanding rupiah Indonesia kepada 280.9/281.8 daripada 280.9/281.3 sebelum ini. -BERNAMA
iCAUR Melakukan Kemasukan Strategik ke Asia Tengah: Mengumumkan Pelancaran Global V27 di UAE
Hefei Spring Festival Gala Sub-Venue: Understanding the City's “Union” Through Four Moments of Palms Meeting
Websea Lancar Seni Bina "Double Pool" Insurans Kontrak: Memulakan Era Baharu Pengurusan Risiko Terperinci
J.P. MorganTradeflow:革新您的交易體驗
EP雅瑩攜東方美學深耕東南亞市場,以服飾為橋共迎新春
Websea Naik Taraf Insurans Kontrak: Jaminan Menyeluruh Terhadap Risiko Dagangan
©hak cipta2009-2020 Forum Teknologi Malaysia Timur