2024-12-10 HaiPress

Foto Fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR,9 Disember- Setelah dua minggu dilanda banjir besar,keadaan di Kelantan pulih sepenuhnya petang tadi manakala jumlah penduduk terjejas ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di empat negeri iaitu Johor,Perak,Melaka dan Negeri Sembilan tidak jauh berubah.
Di Kelantan,Pegawai Kebajikan Masyarakat Jajahan Pasir Mas,Azizan Aziz berkata PPS terakhir iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tok Deh yang menempatkan 32 mangsa,ditutup sekitar pukul 6.00 petang tadi apabila banjir di kawasan petempatan mereka surut dan semua mangsa dibenarkan pulang.
Portal infobanjir.water.gov.my pula memaklumkan setakat pukul 8.00 malam tadi,bacaan aras Sungai Golok di Kuala Jambu,Tumpat masih melepasi paras berjaga-jaga iaitu 2.01 meter (berjaga-jaga 2.0 meter) dengan trend menurun.
Di Johor,jumlah mangsa banjir yang di tempatkan di PPS sedikit berkurangan selepas PPS Balai Raya Kampung Kuala Paya,Segamat ditutup petang tadi menjadikan mereka yang masih terjejas hingga pukul 8.00 malam sekitar 101 orang berbanding 109 petang tadi,dengan kesemuanya ditempatkan di tiga PPS di Segamat.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN),Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata kesemua mangsa ditempatkan di Balai Raya Kampung Batu Badak (40 orang),Dewan Komuniti Kampung Tasek (45 orang) dan Balai Raya Kampung Sanglang (16 orang).
"Sementara itu,dua sungai masih lagi berada pada paras bahaya iaitu Sungai Tangkak di Kampung Seri Ma’mor,Tangkak dengan bacaan 4.24 meter dan Sungai Muar di Jeti Kampung Tekam,Segamat dengan bacaan 4.13 meter.
"Daerah Segamat dilaporkan hujan malam ini manakala Muar,Mersing,Pontian,Kluang,Batu Pahat dan Tangkak adalah mendung serta Johor Bahru,Kota Tinggi dan Kulai berkeadaan cerah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu,penduduk terjejas banjir di Melaka kekal dengan 11 orang yang masih berlindung di PPS SK Seri Mendapat,Jasin,menurut Sekretariat JPBN Melaka.
Di Perak,Sekretariat JPBN dalam kenyataan memaklumkan jumlah penduduk terjejas banjir malam ini kekal 112 orang,yang ditempatkan di tiga PPS di daerah Kinta dan Perak Tengah iaitu PPS Dewan Serbaguna Tanjung Tualang serta Sekolah Kebangsaan St Paul di daerah Kinta (78 orang) manakala di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Teluk Kepayang,Bota di Perak Tengah (34 orang).
Di Negeri Sembilan,laman sesawang Info Bencana JKM melaporkan jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat kepada 129 penduduk terjejas yang ditempatkan di tiga PPS di Tampin berbanding 30 individu daripada lapan keluarga,petang tadi.
Tiga PPS yang terlibat ialah PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Sungai Kelamah,Balai Raya Kampung Parit Buluh dan SK Gedok.- BERNAMA
USTEU will showcase its full scenario charging solution at ENERtec ASIA 2026 in Malaysia
GSF 2.0: Malaysia-Turkiye bekerjasama bawa pulang 29 rakyat Malaysia
Perhebat usaha diplomatik, bebas 29 rakyat Malaysia ditahan Israel
535 warga kerja sektor penyiaran dan komunikasi terima APC
RUU warga emas dibentang pada sesi parlimen akan datang
Wanita maut, anak parah dirempuh lori
©hak cipta2009-2020 Forum Teknologi Malaysia Timur