2025-02-08 HaiPress

Foto BERNAMA
KUCHING,8 Februari- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berhasrat untuk membangunkan Model Bahasa untuk Aplikasi Dialog (LaMDA) bagi negeri itu yang dapat menggabungkan pelbagai data tempatan untuk dikongsi secara global.
Mencadangkan model kecerdasan buatan (AI) itu sebagai DeepSar,Abang Johari berkata beliau mendapat inspirasi daripada kejayaan seorang jurutera dari China,Liang Wenfeng yang mengasaskan DeepSeek,model AI yang mampu menyaingi model yang dibangunkan di Amerika Syarikat.
“Saya berharap (satu hari nanti) kita akan mempunyai DeepSar yang dibangunkan oleh rakyat Sarawak,dengan kandungan unik mengenai Sarawak dan memudahkan perbualan digital antara rakyat Sarawak dengan dunia,” katanya.
Bercakap pada majlis makan malam sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) di sini pada Jumaat,beliau berkata kerajaan Sarawak kini menggalakkan pembangunan reka bentuk mikrocip - komponen utama dalam pemindahan data.
“Data hanya boleh dihantar melalui cip,cip ibarat darah dalam badan kita dan ia memacu anda,” katanya.
Abang Johari berkata platform AI yang dibangunkan sendiri juga akan membantu mempromosikan biodiversiti Sarawak,justeru beliau menugaskan syarikat penyedia penyelesaian sistem ICT milik kerajaan,SAINS Sdn Bhd,untuk mengumpulkan data berkaitan.
Beliau berkata sebagai hab dunia bagi hutan hujan dan biodiversiti,Sarawak dapat berkongsi maklumat pada peringkat antarabangsa dan langkah ini dapat mewujudkan peluang ekonomi baharu untuk negeri berkenaan.
“Kita boleh berkongsi pandangan dengan dunia mengenai ekonomi sumber biodiversiti. Apabila maklumat ini dimuat turun,ia bukan percuma. Lapan bilion orang boleh mengakses maklumat itu dan kita juga perlu mendapatkan paten dan hak terhadap sumber biodiversiti kita,” katanya.
Pada majlis itu,Abang Johari yang juga Pengerusi SMA menzahirkan penghargaan kepada Pengurus Besar SMA Datuk Anderson Tiong Ing Heng dan pasukannya kerana bekerjasama dengan agensi lain untuk mempertingkatkan infrastruktur telekomunikasi dan rangkaian Sarawak.
Beliau berkata infrastruktur ini penting untuk negeri maju dengan agenda ekonomi dan sosial.- BERNAMA
Membina Jambatan Dialog Berterusan: Memacu Proses Kemasukan Anmrex dan Merealisasikan Penyelarasan Pematuhan Dua Hala
Building a Normalized Dialogue Bridge: Advancing Anmrex Admission Process and Achieving Two-Way Compliance Alignment
CON-FEST 2026 himpun lebih 300 pengiat industri kreatif global
Jiwa@Komuniti MADANI eratkan hubungan kerajaan dengan masyarakat Endau
Sistem kesihatan awam sedia ada masih relevan, NHI tidak diperlukan
Integrasi rapat klinik kerajaan-swasta tangani beban NCD
©hak cipta2009-2020 Forum Teknologi Malaysia Timur