2025-03-05 HaiPress

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan penggunaan media sosial oleh mahasiswa perlu mematuhi undang-undang sedia ada / Foto Hiasan / Bernama
KUALA LUMPUR,5 Mac – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan penggunaan media sosial oleh mahasiswa perlu mematuhi undang-undang sedia ada tanpa memerlukan pindaan kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi,Datuk Mustapha Sakmud berkata AUKU tidak mengawal penggunaan media sosial,sebaliknya perkara itu tertakluk bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta undang-undang lain seperti Akta Hasutan 1948,Akta Fitnah 1957 dan Kanun Keseksaan.
“Kementerian Pendidikan Tinggi sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa media sosial sewajarnya digunakan dengan baik oleh mahasiswa. Ia bukan sahaja sebagai platform perdebatan intelektual dan perkongsian maklumat yang sahih,tetapi juga untuk mengelakkan penyebaran fitnah yang boleh menjejaskan imej Institusi Pendidikan Tinggi,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jerai,Sabri Azit berhubung kawalan terhadap penggunaan media sosial dalam kalangan mahasiswa.
Tambah Mustapha,institusi pengajian tinggi (IPT) juga mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan disiplin mengikut Peraturan Universiti sekiranya terdapat pelanggaran.
Usaha tersebut katanya,selaras dengan agenda pemerkasaan dan reformasi di bawah Kerajaan Madani bagi memastikan kualiti pendidikan tinggi yang lebih baik.
Dalam pada itu,KPT menegaskan AUKU tidak bertujuan mengenakan tindakan punitif terhadap mahasiswa.
Mustapha menjelaskan,pelbagai program pendidikan dan kesedaran digital telah dijalankan bagi menerangkan penggunaan internet dan media sosial serta implikasinya.
“Kita juga ada program pembangunan karakter positif seperti Program Pemukiman Siswa dan Latihan Kepimpinan Muda Kebangsaan (KARISMA) yang diperkenalkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi sejak tahun lepas.
“Program tersebut mengangkat kepimpinan mahasiswa supaya mereka memahami dasar-dasar kerajaan serta bagaimana menjadi insan dan warganegara yang baik,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa program Parlimen Mahasiswa memberi ruang kepada mahasiswa untuk menyuarakan pandangan kritis mengenai dasar kerajaan.
Selain itu,program kerohanian melalui kuliah,seminar dan kursus teras pengajian Islam turut dilaksanakan bagi mengukuhkan jati diri mahasiswa.
"Usaha-usaha ini akan melahirkan mahasiswa yang lebih berdaya saing dan kritis dalam menilai maklumat serta membentuk masa depan yang lebih baik," katanya.
Membina Jambatan Dialog Berterusan: Memacu Proses Kemasukan Anmrex dan Merealisasikan Penyelarasan Pematuhan Dua Hala
Building a Normalized Dialogue Bridge: Advancing Anmrex Admission Process and Achieving Two-Way Compliance Alignment
CON-FEST 2026 himpun lebih 300 pengiat industri kreatif global
Jiwa@Komuniti MADANI eratkan hubungan kerajaan dengan masyarakat Endau
Sistem kesihatan awam sedia ada masih relevan, NHI tidak diperlukan
Integrasi rapat klinik kerajaan-swasta tangani beban NCD
©hak cipta2009-2020 Forum Teknologi Malaysia Timur