2025-03-17 IDOPRESS

Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR,17 Mac- Lapan petugas kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) maut dalam serangan udara oleh rejim Israel di Beit Lahiya,utara Gaza,Sabtu lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata serangan berlaku pada 1.30 tengah hari,ketika petugas berkenaan sedang mendirikan khemah untuk menempatkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan berterusan Israel.
"Tindakan menyerang orang awam yang sedang menjalankan tugas kemanusiaan ialah jenayah paling keji dan terkutuk.
“MAPIM mengutuk sekeras-kerasnya jenayah perang ini dan menyeru rakyat Malaysia untuk mengadakan doa Qunut Nazilah bagi mendoakan keselamatan saudara-saudara kita di Gaza,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sani Araby berkata MAPIM dan rakan rasminya Al-Khair Foundation amat terkejut dan berdukacita dengan tragedi meragut nyawa petugas lapangan itu,dengan tiga daripadanya ialah pasukan media yang berdedikasi dalam menjalankan misi kemanusiaan.
Beliau berkata lapan petugas kemanusiaan yang terkorban dikenal pasti sebagai Mahmoud Yahya Al-Sarraj,Bilal Hossam Oqeila,Mahmoud Samir Oselim,Mahmoud Khaled Oselim,Mohammed Al-Ghafeer,Hazem Ghareeb,Bilal Abu Matar dan Ahmad Hamad dengan semuanya ialah warga Palestin.
“Serangan ini bukan sahaja mengorbankan nyawa yang tidak berdosa,tetapi turut menjejaskan operasi kemanusiaan penting di Gaza.
“MAPIM kehilangan beberapa petugas yang sangat komited dan ikhlas berkhidmat termasuk seorang rakan media yang sangat rapat dengan saya,” katanya.
Sani Araby bagaimanapun berkata MAPIM akan tetap teguh dengan komitmen dalam melaksanakan kerja-kerja kemanusiaan di Gaza,dengan setakat ini organisasi itu berjaya mendirikan 1,000 khemah yang menjadi perlindungan sementara mangsa yang kehilangan rumah akibat pengeboman tanpa henti di Gaza.
Beliau turut menegaskan serangan itu ialah pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Geneva yang melindungi hak penduduk awam di kawasan perang serta perlu dikecam oleh seluruh dunia tanpa kompromi.
“MAPIM menggesa masyarakat antarabangsa untuk bertindak segera menghentikan keganasan ini dan memastikan keadilan ditegakkan untuk mangsa yang terkorban serta keluarga mereka.
"Kejadian ini bukan sekadar serangan terhadap Gaza,ia serangan terhadap kemanusiaan. Kami menggesa pemimpin dunia,organisasi kemanusiaan dan masyarakat sivil untuk bersatu mengecam jenayah kejam ini dan menuntut pertanggungjawaban daripada pihak yang bertanggungjawab,” katanya.- BERNAMA
Websea Umum Pembakaran Besar-Besaran 57 Juta WBS, Pasaran Menilai Semula Nilai Jangka Panjang Token Platform
J.P. Morgan 投資學院與 Morgan 機構知識通道:在新金融時代重建全球知識標準
Kepercayaan Dalam Ribut: Insurans Kontrak Mencetus Revolusi Pengurusan Risiko Web3
Genomik untuk Kesihatan Tumbuhan: Sumbangan Kumpulan BGI terhadap Kepelbagaian Tumbuhan dan Keselamatan Makanan
AIF(香港)投资学院宣布与合盈证券达成战略合作 携手推动亚洲专业投资教育升級,扩大OTC的交易深度和广度
Festival Tanglung Taiwan 2026 Menerangi Chiayi! “Light Up Chiayi: Super Style” Bergandingan dengan Super Mario, Lancarkan Tanglung Blok Soalan Edisi Terhad
©hak cipta2009-2020 Forum Teknologi Malaysia Timur