2025-06-03 IDOPRESS

Stok bekalan lembu dan kerbau tempatan sebanyak 35,581 ekor
PUTRAJAYA,3 Jun - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menjangkakan bekalan ternakan untuk sambutan Hari Raya Aidiladha 1446H mencukupi dan mampu memenuhi keperluan ibadah korban di seluruh negara.
Menurut KPKM,unjuran itu berdasarkan statistik Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) sehingga Mac 2025,yang merekodkan stok bekalan lembu dan kerbau tempatan sebanyak 35,581 ekor.
Manakala ternakan diimport berjumlah 3,223 ekor,menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 38,804 ekor untuk tujuan korban.
“Bagi kambing dan bebiri pula,stok bekalan tempatan adalah 26,845 ekor manakala ternakan diimport sebanyak 3,322 ekor,menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 30,167 ekor,” menurut kenyataan kementerian itu hari ini.
Menurut KPKM,mengambil kira keperluan masjid,surau dan rumah sembelih di seluruh negara,permintaan dijangka melibatkan sebanyak 34,451 ekor lembu atau kerbau serta 22,453 ekor kambing dan bebiri.
“Justeru,jumlah keseluruhan bekalan ternakan yang tersedia adalah mencukupi bagi menampung permintaan penyembelihan korban bagi tahun ini,” katanya.
Dalam pada itu,sebanyak 27 rumah sembelih milik DVS di Semenanjung Malaysia sedia untuk beroperasi sempena musim korban.
Ini termasuk 40 rumah sembelih swasta yang telah diberi lesen oleh jabatan itu untuk menawarkan perkhidmatan penyembelihan bagi tujuan korban.
“KPKM juga memaklumkan bahawa penyembelihan korban turut boleh dijalankan di lokasi lain yang diluluskan seperti masjid,sekolah,taman perumahan dan tempat awam yang bersesuaian,” menurut kenyataan itu lagi.
Sultan Pahang titah solat hajat di semua masjid, doa jerebu Sarawak pulih
Taska di Sarawak tutup serta-merta jika IPU cecah 200
Sambutan Hari RTM ke-80, Bulan Kebangsaan 2026 di Terengganu meriah
Mansuh AUKU: Mahasiswa mahu kebebasan bersuara seiring tanggungjawab
PM Anwar, isteri hayati seni batik Brunei
Sukan Bendang disertai lebih 2,000 peserta, perkukuh perpaduan
©hak cipta2009-2020 Forum Teknologi Malaysia Timur