Kerjasama strategik Kesatuan Eropah-ASEAN signifikan

2025-06-11 IDOPRESS

Andrzej Duda / Foto RTM

KUALA LUMPUR,11 Jun - Poland dan Kesatuan Eropah (EU) menyatakan kesediaan menjalin kerjasama strategik bersama negara-negara ASEAN.

Presiden Republik Poland,Andrzej Duda berpendirian kerjasama itu amat signifikan dalam meningkatkan perdagangan dan memacu perkongsian strategik jangka panjang.

Sekali gus,meningkatkan daya saing dalam menghadapi cabaran global.

Berucap pada syarahan umum yang bertajuk ‘Kedudukan Poland dalam Kesatuan Eropah: Cabaran dan Pilihan’,Duda turut menyambut baik usaha untuk meneruskan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara EU dan Malaysia.

Jelasnya,perjanjian tersebut tidak hanya merangsang ekonomi,malah dijangka memperkukuh kerjasama antara kedua-dua negara.

"Kami juga mengalu-alukan keputusan untuk menyambung semula rundingan mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas antara Kesatuan Eropah dan Malaysia."

"Kami melihat perjanjian ini bukan sahaja sebagai rangsangan ekonomi,tetapi juga sebagai satu alat untuk memperkukuh daya tahan ekonomi dan sistem keselamatan kita.

"Oleh itu,saya yakin bahawa Eropah dan Asia mesti bekerjasama sebagai rakan kongsi yang setara.

Ke arah itu,saya melihat peranan istimewa Poland dan Malaysia untuk menghubungkan dan menawarkan pendekatan konstruktif dalam penyelesaian konflik." katanya ketika berucap dalam syarahan itu.

Dalam majlis sama,Duda turut berpandangan Poland dan Malaysia berupaya menjadi penggerak dalam memperkasa hubungan multilateralisme yang positif antara kedua-dua rantau.

Malaysia selaku Pengerusi ASEAN boleh memainkan peranan penting di ASEAN itu untuk mempromosikan dialog,pembangunan mampan dan penyelesaian konflik secara aman.

Katanya,"Meningkatkan kerjasama dalam aspek keselamatan antara Eropah dan Asia bukan sekadar satu cadangan,tetapi adalah suatu realiti yang akan membentuk masa depan."

Menurut beliau,jawapan kepada ketidaktentuan dan ancaman memerlukan dialog,solidariti dan tindakan bersama.

Eropah dan Asia seharusnya menjadi tonggak kestabilan global.

"Bersama-sama,kita boleh membina satu sistem yang berasaskan kepercayaan,undang-undang antarabangsa dan tanggungjawab bersama. Poland bersedia untuk mengambil bahagian secara aktif dalam proses ini."

Duda berkata demikian ketika menyampaikan syarahan umum di Universiti Malaya.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.

©hak cipta2009-2020 Forum Teknologi Malaysia Timur