2025-06-17 HaiPress

Wan Muhammad Azim (Kiri) dan S. Sri Prasaad /UTM Hub News
JOHOR BAHRU,17 Jun- Inovasi sistem pemantauan pintar berasaskan teknologi Internet Benda (IoT) hasil ciptaan pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kini membuka ruang kepada penternak ikan kecil dan baharu dalam usaha mengurangkan risiko kematian hidupan laut.
Sistem itu,yang dibangunkan oleh syarikat pemula AquaTech Technology Enterprise milik dua pelajar universiti berkenaan iaitu,Wan Muhammad Azim Wan Mohamad Zaharuddin,22,dan S. Sri Prasaad,26,membolehkan kualiti air kolam dipantau secara langsung melalui aplikasi di telefon bimbit atau paparan monitor khas yang dipasang berhampiran kolam ternakan.
Mereka dibimbing oleh dua pensyarah kanan Fakulti Kejuruteraan Elektrik UTM iaitu Dr Mohd Adib Sarijari dan Dr Nor Aishah Muhammad.
Wan Muhammad Azim,yang juga Ketua Pegawai Teknologi AquaTech,berkata sistem yang mendapat sokongan pelbagai dana kerajaan itu telah digunakan di 55 kolam ternakan ikan kelah dan talapia khususnya milik penternak kecil di Johor.
“Sistem ini berupaya memantau kualiti air dan merekodkan bacaan oksigen,pH dan suhu air secara langsung serta mampu menghantar isyarat amaran dan mengeluarkan penggera automatik sekiranya terdapat gangguan bekalan elektrik di kolam ternakan
Sebenarnya,cetusan idea untuk bangunkan produk ini adalah daripada mentor atau penasihat kami sendiri ketika bersama komuniti untuk membangunkan penternakan ikan kerana mereka melihat ia memerlukan sistem IoT ataupun bantuan bagi memudahkan penternak terutama yang memerlukan bantuan dan kekurangan ilmu kepakaran.
Jadi sistem ini secara tidak langsung membantu penternak untuk memantau dan melihat apa yang perlu dibuat seperti bila air perlu ditambah apabila suhu air kolam naik. Ini secara tidak langsung membantu penternak terutama yang baru pertama kali ceburi bidang ini,’’ jelas Wan Muhammad Azim.
Beliau berkata sistem IoT bagi penternakan ikan telah digunakan di Malaysia namun tidak secara meluas atau dikomersial kerana kebanyakan penternak masih menggunakan kaedah lama untuk memantau kualiti air.
Sri Prasaad,yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif AquaTech pula berkata,sistem IoT mampu mengelakkan penternak daripada menanggung kerugian besar selain mudah digunakan sekiranya penternak berada di luar kawasan.
"Contohnya bila pam oksigen mati dalam beberapa jam,semua ikan akan turut mati dan menyebabkan kerugian yang besar kepada penternak itu sendiri,jadi (sistem IoT) dapat memudahkan dan mengelakkan penternak alami masalah itu,’’ katanya.
Pelajar separuh masa bidang Pentadbiran dan Perniagaan di UTM itu memberitahu,penternak juga memberikan maklum balas positif mengenai tahap keberkesanan sistem dan sentiasa berkongsi pendapat agar penambahbaikan dibuat yang secara langsung memastikan masalah dihadapi dapat diselesaikan secepat mungkin.
Beliau berkata AquaTech juga merancang untuk mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan ke dalam sistem itu menggunakan kamera bagi memantau keadaan ikan dan fungsi pam di kolam ternakan.
‘’Kita juga sedang cuba untuk membangunkan alat auto feeder yang lebih berkesan sebab kami lihat penternak kadangkala berada di luar kawasan dan pada masa sama,perlu memberi makan ikan mereka pada waktu tertentu.
"Jadi dengan auto feeder ini,penternak boleh tetapkan waktu walau berada di luar,’’ katanya.
Sri Prasaad juga berkata AquaTech terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk agensi kerajaan bagi mengkomersialkan sistem itu pada masa akan datang.- BERNAMA
Websea Umum Pembakaran Besar-Besaran 57 Juta WBS, Pasaran Menilai Semula Nilai Jangka Panjang Token Platform
J.P. Morgan 投資學院與 Morgan 機構知識通道:在新金融時代重建全球知識標準
Kepercayaan Dalam Ribut: Insurans Kontrak Mencetus Revolusi Pengurusan Risiko Web3
Genomik untuk Kesihatan Tumbuhan: Sumbangan Kumpulan BGI terhadap Kepelbagaian Tumbuhan dan Keselamatan Makanan
AIF(香港)投资学院宣布与合盈证券达成战略合作 携手推动亚洲专业投资教育升級,扩大OTC的交易深度和广度
Festival Tanglung Taiwan 2026 Menerangi Chiayi! “Light Up Chiayi: Super Style” Bergandingan dengan Super Mario, Lancarkan Tanglung Blok Soalan Edisi Terhad
©hak cipta2009-2020 Forum Teknologi Malaysia Timur