Naik taraf Terminal 1 KLIA, persiapan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026

2025-07-14 IDOPRESS

Abd Hasman Abd Muhimin

SEPANG,14 Julai - Penambahbaikan dan naik taraf kemudahan di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) merupakan persiapan menyambut para pengunjung bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 serta Sidang Kemuncak ASEAN 2025 yang dijadualkan berlangsung hingga Oktober ini.

Menurut Pengurus Operasi Terminal 1 KLIA,Abd Hasman Abd Muhimin,lebih RM30 juta peruntukan bagi mempertingkatkan kemudahan dan perkhidmatan sokongan di terminal tersebut.

"Negara kita bakal menerima kemasukan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan juga penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN 2025.

"Dengan komitmen ini,kami berharap penganjuran ASEAN kali ini lebih cemerlang,dan Tahun Melawat Malaysia akan memberi impak besar kepada negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa lawatan media di KLIA Terminal 1,di sini hari ini.

Langkah penambahbaikan itu melibatkan pelaksanaan 14 inisiatif utama untuk digunakan para penumpang.

Antara fasiliti tersebut termasuk penyediaan kawasan letak kenderaan khas untuk keluarga (family parking),penambahan 5,000 troli bagasi baharu dan 50 kerusi roda,kaunter keutamaan di bahagian imigresen perlepasan,serta penugasan enam petugas paramedik dilengkapi skuter elektrik.

Selain itu,terminal turut menampilkan elemen warisan menerusi laluan bertemakan warisan seperti Lorong Warisan Pulau Pinang dan Lorong Warisan Melaka.

Pada masa sama,penambahbaikan turut melibatkan sistem panduan arah di kawasan aerostesen,bilik salin lampin bayi,serta prosedur keselamatan bagi penerbangan domestik.

Sebanyak 80 tandas juga dinaik taraf bagi mengurangkan kesesakan dan memudahkan pengguna.

Usaha itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan pihaknya untuk memastikan KLIA kekal setaraf lapangan terbang antarabangsa utama lain di dunia.

"Kami tidak menetapkan sebarang had belanjawan untuk usaha ini. Keutamaan kami adalah memastikan penumpang menikmati pengalaman perjalanan yang lebih selesa,lancar dan efisien," katanya lagi.

Beliau turut optimis penambahbaikan itu akan menyumbang kepada peningkatan penarafan antarabangsa KLIA terutama tinjauan kualiti perkhidmatan lapangan terbang (ASQ).

Terdahulu,KLIA tersenarai dalam kedudukan 10 lapangan terbang terbaik dunia bagi kategori pengendalian lebih 40 juta penumpang setahun,menerusi tinjauan kualiti perkhidmatan lapangan terbang (ASQ) 2024.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.

©hak cipta2009-2020 Forum Teknologi Malaysia Timur