2025-07-31 HaiPress

Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR,30 Julai - Eksport minyak sawit Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) meningkat sebanyak 51.8 peratus kepada 93,000 tan metrik bagi tempoh Januari hingga Mei 2025 berbanding 61,000 tan metrik dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) berkata 65 peratus daripada eksport minyak sawit Malaysia ke AS pada 2024 adalah dalam bentuk produk dipersijilkan mampan dan digunakan untuk produk bernilai tinggi,manakala 19 peratus lagi terdiri daripada stearin sawit,iaitu bahan utama dalam industri makanan dan produk penjagaan diri.
"Walaupun AS bukan pasaran eksport utama minyak sawit Malaysia,kerajaan berpandangan pengenaan tarif import baharu terhadap Malaysia sebanyak 25 peratus yang akan berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2025 tetap perlu diberi perhatian untuk memastikan pasaran Malaysia tidak terjejas pada masa hadapan.
"KPK sentiasa prihatin dan proaktif dalam memantau perkembangan dasar perdagangan antarabangsa sebagai usaha untuk memastikan eksport minyak sawit negara tidak terjejas," kata kementerian itu menerusi jawapan bertulis yang dimuat naik di laman sesawang Parlimen,hari ini.
KPK berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Siti Aminah Aching (BN-Beaufort) yang ingin tahu sama ada nilai tarif 25 peratus yang dikenakan AS ke atas Malaysia akan memberi kesan terhadap permintaan global minyak sawit negara serta usaha kementerian dalam memastikan eksport minyak sawit negara tidak terjejas.
Kementerian itu melalui Kementerian Pelaburan,Perdagangan dan Industri (MITI) sedang mengadakan rundingan secara berterusan dengan pihak AS bagi memastikan perdagangan yang adil,terbuka dan saling menguntungkan untuk kedua-dua pihak.
Pelbagai usaha bersepadu sedang dilaksanakan kerajaan bagi memastikan eksport minyak sawit negara tidak terjejas dan kekal mampan,antaranya menggalakkan transformasi sektor sawit untuk menjurus kepada produk hiliran berteknologi tinggi seperti oleokimia,bahan makanan diproses dan biobahan api.
Selain itu,kerajaan juga mengukuhkan pelaksanaan persijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO 2.0) untuk memastikan minyak sawit Malaysia memenuhi piawaian antarabangsa,terutamanya dalam aspek alam sekitar,sosial dan tadbir urus (ESG) dan pengenalan Sawit Intelligent Management System (SIMS) yang membolehkan kebolehjejakan penuh di ladang bagi semua minyak sawit yang dihasilkan.
KPK berkata terdapat dua Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) baharu yang telah ditandatangani iaitu Malaysia–UAE Comprehensive Economic Partnership Agreement (14 Januari 2025) dan Malaysia-EFTA Economic Partnership Agreement - MEEPA (23 Jun 2025).
"Perjanjian ini membuka akses pasaran lebih luas untuk produk hiliran sawit,selain membantu mengurangkan tarif,mengatasi halangan bukan tarif dan menggalakkan pelaburan asing dalam sektor komoditi," katanya.
Secara keseluruhannya,KPK berkata langkah-langkah komprehensif yang diambil oleh kementerian dan agensi berkaitan adalah untuk memastikan industri sawit Malaysia kekal berdaya saing,meningkatkan eksport dan mengekalkan reputasi Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit mampan,telus dan beretika.
"Ini penting untuk terus menarik minat negara maju seperti AS untuk terus mengimport minyak sawit Malaysia," katanya. -BERNAMA
Websea Umum Pembakaran Besar-Besaran 57 Juta WBS, Pasaran Menilai Semula Nilai Jangka Panjang Token Platform
J.P. Morgan 投資學院與 Morgan 機構知識通道:在新金融時代重建全球知識標準
Kepercayaan Dalam Ribut: Insurans Kontrak Mencetus Revolusi Pengurusan Risiko Web3
Genomik untuk Kesihatan Tumbuhan: Sumbangan Kumpulan BGI terhadap Kepelbagaian Tumbuhan dan Keselamatan Makanan
AIF(香港)投资学院宣布与合盈证券达成战略合作 携手推动亚洲专业投资教育升級,扩大OTC的交易深度和广度
Festival Tanglung Taiwan 2026 Menerangi Chiayi! “Light Up Chiayi: Super Style” Bergandingan dengan Super Mario, Lancarkan Tanglung Blok Soalan Edisi Terhad
©hak cipta2009-2020 Forum Teknologi Malaysia Timur