2025-08-15 HaiPress
FOTO HIASAN
KUALA LUMPUR,15 Ogos – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan bahawa video tular di media sosial bertajuk “JAKIM jarang audit daging import Australia,rakyat Malaysia termakan bangkai” adalah rakaman lama dari tahun 2022 yang mengandungi maklumat tidak tepat serta berpotensi mengelirukan orang ramai.
Ketua Pengarahnya,Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata,JAKIM sentiasa melaksanakan penilaian dan pemantauan halal secara holistik melalui prosedur komprehensif yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Dakwaan bahawa JAKIM tidak melaksanakan audit adalah tidak berasas. Semua proses dijalankan mengikut standard dan piawaian kedua-dua negara bagi memastikan hanya produk yang benar-benar halal sampai kepada masyarakat,khususnya umat Islam di Malaysia.
"Penilaian dan pemantauan berterusan turut dilakukan terhadap badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf JAKIM,bagi memastikan hanya produk yang mematuhi hukum syarak dan piawaian Malaysia dibenarkan memasuki pasaran tempatan.
"Proses sembelihan serta pemprosesan produk daging dan berasaskan daging yang dibekalkan atau dieksport ke Malaysia wajib mematuhi hukum syarak,Standard Malaysia (MS 1500) dan Malaysian Protocol for the Halal Meat and Poultry Productions,selain peraturan khusus negara pengeksport," jelasnya dalam satu kenyataan.
Tambah Dr. Sirajuddin,hanya produk daripada rumah sembelihan dan loji pemprosesan yang disahkan halal oleh badan pensijilan luar negara diiktiraf JAKIM,serta telah diaudit dan diperakui oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan JAKIM,dibenarkan dieksport ke Malaysia.
Di peringkat antarabangsa,JAKIM turut mempunyai Pejabat Atase Halal di Suruhanjaya Tinggi Malaysia,Canberra,Australia,bagi melaksanakan pemantauan berjadual terhadap rumah sembelihan dan loji pemprosesan yang diluluskan serta diiktiraf oleh DVS Malaysia.
Selain itu,pihak berkuasa Australia melalui The Department of Agriculture,Fisheries and Forestry (DAFF) turut menguatkuasakan peraturan penyediaan daging halal untuk tujuan eksport,manakala pemeriksaan di pintu masuk negara dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
JAKIM mengingatkan orang ramai supaya menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum menyebarkannya serta merujuk isu berkaitan halal kepada pihak berkuasa berwibawa untuk pengesahan.
Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding mata wang utama
PropertyGuru perkenal Lencana Verified elak penipuan ejen hartanah
Mohd Na'im ucap takziah kepada keluarga Allahyarham Azizi Harun
Datuk Nor Yati Ahmad dilantik Profesor Adjung UiTM
PEWARIS platform pelihara seni bina warisan tempatan
Gagal patuhi syarat kemasukan, 26 warga asing dihalang masuk Malaysia
©hak cipta2009-2020 Forum Teknologi Malaysia Timur