2025-09-05 HaiPress

Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR,5 September - Rang Undang-Undang Kredit Pengguna (RUUKP) 2025 akan memperkukuh kawal selia terhadap industri kredit pengguna dan melindungi rakyat daripada amalan kredit tidak adil,tidak telus,dan menindas.
Kementerian Kewangan menerusi kenyataan berkata,ia akan menjadi akta induk yang diguna pakai semua Pihak Berkuasa Pengawal Seliaan dan Penyeliaan (RSA) dalam memantau aktiviti kredit pengguna di bawah agensi masing-masing.
RUUKP diluluskan di Dewan Negara semalam,selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Kewangan,Lim Hui Ying.
“RUUKP merupakan manifestasi reformasi berpengaruh untuk memperkukuh perlindungan pengguna dan mengatur semula landskap kredit negara.
"Kerajaan MADANI tidak memandang remeh prinsip keadilan dan keterangkuman dalam semua aspek tatakelola demi memastikan kemaslahatan rakyat terjamin.
"Keyakinan terhadap institusi juga diharap dapat dipulihkan,seperti digagaskan dalam kerangka Ekonomi MADANI,” menurut kenyataan itu.
Ketika ini,terdapat enam perkhidmatan kredit pengguna yang tidak dikawal selia oleh mana-mana pihak termasuk skim Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL),pemfaktoran,pajakan,perkhidmatan kutipan hutang dan pengurusan hutang.
Selepas RUUKP diluluskan,semua perkhidmatan itu akan dikawal selia oleh Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) di bawah Fasa 1 apabila akta ini dikuatkuasakan kelak.
Ia dijangka diwartakan pada akhir tahun ini dan akan memberi perlindungan lebih menyeluruh kepada pengguna melalui kawal selia caj keterlaluan dan amalan kutipan hutang yang beretika.
Pada masa sama,ia mewujudkan kerangka kawal selia yang konsisten untuk pemain industri kredit,sekali gus memperkukuh kepercayaan terhadap sistem kewangan negara.
Sementara itu,SKP juga akan menjalankan empat fungsi utama iaitu menasihati Menteri Kewangan dalam semua perkara berkaitan kredit pengguna dan menasihati kerajaan dalam pembentukan dasar kebangsaan berkaitan kredit pengguna.
Selain itu,menggalakkan perlakuan yang adil,profesional dan bertanggungjawab oleh semua pemberi kredit dan pemberi perkhidmatan kredit dan menggalakkan perkembangan industri kredit pengguna yang cekap dan telus.
Empat langkah tangani krisis air sawah Perak Tengah
KPT sokong inisiatif MAHSA, Micro-Credential jadi pemangkin ‘upskilling’
AS digesa tarik balik tekanan terhadap Malaysia
Peruntukan pertahanan meningkat 35 peratus, tertinggi dalam sejarah
Karnival Masjid Negara 2026 perkasa masjid sebagai pusat komuniti
SK Bukit Pantai terima blok baharu ganti bangunan rosak akibat anai-anai
©hak cipta2009-2020 Forum Teknologi Malaysia Timur