2025-10-15 HaiPress

Ketua Pengakap Negara,Mejar Jeneral Datuk Prof Dr Mohd Zin Bidin,dilantik sebagai Pengerusi Pengakap Rantau Asia Pasifik yang baharu
KUALA LUMPUR,15 Oktober - Ketua Pengakap Negara,telah dilantik sebagai Pengerusi Pengakap Rantau Asia Pasifik yang baharu pada Persidangan Pengakap Asia Pasifik ke-28 yang berlangsung di Kaohsiung,Taiwan.
Dr Mohd Zin berkata,beliau komited memperkasa Pergerakan Pengakap di rantau berkenaan dengan memberi tumpuan kepada pemantapan tadbir urus selaras dengan APR Strategy Triennial Plan 2025–2028,pelan strategik tiga tahun yang digubal oleh Jawatankuasa Pengakap Rantau Asia Pasifik bagi menetapkan hala tuju pembangunan kepimpinan,keahlian dan program belia.
“Pelantikan ini bukan sekadar satu penghormatan kepada Malaysia,tetapi juga satu tanggungjawab besar untuk membuka lebih banyak ruang kepada golongan remaja di rantau Asia Pasifik menyertai pergerakan Pengakap,di samping memperluas keahlian di negara baharu seperti di Pasifik Selatan,Rusia dan Asia Tengah,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.
Beliau turut menegaskan komitmen memperkasa generasi muda agar menjadi pemimpin masa depan yang berdisiplin,berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran global.
Sementara itu,Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) merakamkan tahniah atas pelantikan itu yang disifatkan sebagai satu pengiktirafan besar terhadap kepimpinan Malaysia dalam Pergerakan Pengakap antarabangsa,sekali gus mencerminkan kepimpinan strategik,semangat inovatif dan dedikasi Dr Mohd Zin terhadap pembangunan generasi muda.
Dr Mohd Zin,tokoh berwibawa dalam bidang ketenteraan,akademik dan kesihatan,merupakan dekan pertama Fakulti Perubatan dan Kesihatan Pertahanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Perubatan Formula 1 Grand Prix Malaysia dan Pengerusi Institut Sukan Negara,selain menerima pengiktirafan antarabangsa seperti Fabulous Global Education Leaders Award (2019) dan Education Excellence Award (2015).
Hampir 400 ahli Pengakap dari 33 pertubuhan kebangsaan menghadiri persidangan selama seminggu itu yang dianjurkan oleh General Association of the Scouts of China (Taiwan) bagi meraikan pencapaian serta merangka hala tuju baharu Pergerakan Pengakap Asia Pasifik.- BERNAMA
Sultan Pahang titah solat hajat di semua masjid, doa jerebu Sarawak pulih
Taska di Sarawak tutup serta-merta jika IPU cecah 200
Sambutan Hari RTM ke-80, Bulan Kebangsaan 2026 di Terengganu meriah
Mansuh AUKU: Mahasiswa mahu kebebasan bersuara seiring tanggungjawab
PM Anwar, isteri hayati seni batik Brunei
Sukan Bendang disertai lebih 2,000 peserta, perkukuh perpaduan
©hak cipta2009-2020 Forum Teknologi Malaysia Timur