2025-11-05 HaiPress

Inisiatif berimpak tinggi ini bertujuan melahirkan tenaga mahir tempatan bertaraf dunia,selaras keperluan industri automotif masa hadapan
SHAH ALAM,4 November - Kerjasama antara Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) dengan BMW Group Malaysia menerusi penganjuran program 'BMW Next Generation Technician (BMW NextGT)' membuka lembaran baharu dalam memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia.
MoU berkenaan akan ditandatangani pada 11 November ini bersempena Sidang Kemuncak Selangor Techsphere 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri,Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Besar Selangor,Datuk Seri Amirudin Shari.
Ketua Pegawai Eksekutif STDC,Dr Harizal Hamid berkata,inisiatif berimpak tinggi ini bertujuan melahirkan tenaga mahir tempatan bertaraf dunia,selaras dengan keperluan industri automotif masa hadapan.
Melalui MoU tersebut,tenaga pengajar automotif STDC bakal menjalani latihan intensif berdasarkan kerangka kelayakan juruteknik syarikat berkenaan yang akan memberikan pendedahan menyeluruh kepada teknologi,amalan penyelenggaraan dan piawaian global syarikat itu.
"Setelah tamat latihan,mereka akan menyalurkan kepakaran tersebut kepada pelatih STDC dalam program berkenaan. Ia akan melahirkan graduan dengan kemahiran bertaraf industri,serta diiktiraf melalui 'BMW Professional Certificate'. Kerjasama bersama syarikat tersebut menandakan langkah penting dalam memperkukuh pembangunan tenaga mahir automotif di Selangor," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan STDC,hari ini.
Sementara itu,Menteri Besar Selangor,Datuk Seri Amirudin Shari berkata,kerajaan negeri berbesar hati atas kepercayaan dan keyakinan pengeluar kenderaan terkemuka dunia itu melalui kerjasama dengan STDC.
"Program berkenaan mencerminkan komitmen Selangor dalam melahirkan generasi baharu bakat Malaysia yang mampu memimpin peralihan ke arah mobiliti lestari dan elektrifikasi masa depan. Ia juga boleh memperkukuh kecemerlangan teknikal dan vokasional,serta memperkasa belia dengan kemahiran dan pengetahuan bertaraf dunia untuk menjadikan Selangor sebagai hab utama teknologi dan inovasi automotif serantau," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan),Ts Datuk Saipolyazan M Yusop pula menegaskan,MBI sentiasa percaya dan bangga dengan STDC dalam memperkasakan belia melalui program berimpak tinggi,seperti program 'BMW NextGT',sekali gus memperkukuh keupayaan tenaga kerja muda dan membina ekosistem industri mampan.
Inisiatif ini akan memperkasa bakat tempatan agar setanding dengan piawaian antarabangsa,serta memacu transformasi Selangor sebagai hab utama teknologi automotif masa depan.
Prasarana bina generasi tenaga mahir pengangkutan awam melalui Program T-GEAR
Isu rumah ibadat perlu ditangani harmoni – KPN
Pendekatan damai mencerminkan kematangan rakyat Malaysia tangani perbezaan
Kos haji kekal: Beri peluang umat Islam tunai haji serta rancang kewangan
ABU DBS 2026 kembali, himpun penggiat industri penyiaran 30 Mac-2 April
PETRA perkukuh kesiapsiagaan banjir menjelang Aidilfitri
©hak cipta2009-2020 Forum Teknologi Malaysia Timur