2025-11-10 HaiPress

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani bercakap kepada pemberita pada Majlis Pembukaan Malaysian Wood Expo (MWE) 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di ibu negara/BERNAMA
KUALA LUMPUR,10 November – Malaysia kekal komited memastikan sekurang-kurangnya separuh daripada tanah negara terus berada di bawah liputan hutan,sejajar dengan ikrar 50 peratus kepada Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi menyokong pembangunan lestari sektor perkayuan.
Menteri Perladangan dan Komoditi,Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata sektor perkayuan merupakan antara penyumbang utama kepada eksport negara dengan nilai mencecah RM22.9 bilion pada tahun 2024,selepas minyak sawit dan produk getah.
Tambahnya,setakat ini liputan hutan negara berada pada kadar 54 peratus,melebihi sasaran ditetapkan di peringkat antarabangsa,sekali gus membuktikan keseimbangan antara aktiviti ekonomi dan pemuliharaan alam sekitar masih menjadi keutamaan kerajaan.
“Kerajaan sentiasa menekankan kepentingan menyeimbangkan aktiviti ekonomi dengan pemuliharaan alam sekitar. Produk kayu merupakan salah satu hasil yang diperoleh daripada sumber hutan negara secara terkawal.
"Justeru,Malaysia komited untuk memastikan hutan sentiasa terpelihara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Malaysian Wood Expo (MWE) 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini,hari ini.
Datuk Seri Johari berkata,kerajaan juga menggalakkan pembangunan industri perabot dan produk hiliran berasaskan kayu melalui pelaksanaan pengurusan hutan secara mampan bagi memastikan bekalan bahan mentah dapat dikawal dan diguna semula secara bertanggungjawab.
Beliau turut memaklumkan bagi tempoh Januari hingga September 2025,nilai eksport produk kayu negara direkodkan sebanyak RM16.2 bilion,sedikit menurun berbanding RM17 bilion pada tempoh sama tahun lalu susulan pengguna global lebih berhati-hati terhadap pembelian produk bernilai tinggi.
Dalam menghadapi cabaran perdagangan antarabangsa termasuk isu tarif,beliau menegaskan Malaysia kekal berada pada kadar tarif yang sama dengan negara ASEAN lain,namun perlu memperkukuh kelebihan daya saing bagi menembusi pasaran eksport antarabangsa.
“Dalam industri kayu,aspek paling penting memastikan kreativiti sentiasa diterapkan dalam setiap produk. Selain itu,mutu kemahiran pertukangan perlu berada pada tahap tinggi,manakala amalan kelestarian hendaklah dijadikan elemen utama dalam setiap produk yang dihasilkan,” kata beliau.
Malaysian Wood Expo 2025,yang berlangsung selama tiga hari di MITEC,menjadi platform utama mempamerkan inovasi dan teknologi industri kayu serta mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian global produk berasaskan kayu.
Maybank perkukuh komitmen JS-SEZ dengan pembiayaan dan pelaburan RM15 Bilion
Liputan hutan 54 peratus dikekalkan, pembangunan dan alam sekitar seimbang
Penyertaan wanita berpotensi sumbang 12 peratus kepada KDNK
Bursa Malaysia tinggi pada tengah hari
Kadar pengangguran negara kekal 3.0 peratus setakat September
Institusi tempatan rekod aliran belian bersih lima minggu berturut-turut
©hak cipta2009-2020 Forum Teknologi Malaysia Timur