2025-11-20 HaiPress

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil ketika menyampaikan ucapannya di Baku (Azerbaijan)/Facebook Fahmi Fadzil
BAKU (Azerbaijan),20 November - Malaysia komited menyokong usaha pembangunan semula Palestin termasuk dalam aspek kesalinghubungan digital,selain berkongsi pengalaman dengan Afrika Selatan dalam sektor telekomunikasi.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu dibincangkan dalam pertemuannya dengan Timbalan Menteri Telekomunikasi dan Ekonomi Digital Palestin Huda Al-Wahidi,serta Timbalan Menteri Komunikasi dan Teknologi Digital Afrika Selatan Mondli Gungubele,di sini semalam.
Fahmi berkata antara isu yang dibangkitkan dalam perbincangannya dengan Huda ialah masalah kesalinghubungan di Palestin,khususnya di Gaza,dan Malaysia menyatakan kesediaan untuk meneliti beberapa mekanisme bagi membantu negara itu.
“Saya akan bawa beberapa dapatan ke Jemaah Menteri,berbincang dengan Perdana Menteri dan Wisma Putra supaya sokongan yang kita berikan bukan hanya dari segi teknikal,” katanya selepas pertemuan yang berlangsung di luar Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Sedunia 2025 (WTDC-25).
Beliau berkata Palestin turut akan membawa usul khas kepada Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) berhubung takrifan semula kesalinghubungan,dan Malaysia akan meneliti bentuk sokongan terhadap usul tersebut.
“Kerana mereka (Palestin) merasakan ada keperluan untuk mentakrifkan kesalinghubungan sebagai satu aspek kemanusiaan yang tidak seharusnya dijadikan sasaran oleh mana-mana pihak dalam konflik peperangan,” katanya.
Menyifatkan pertemuan itu sebagai amat bermakna,Fahmi berkata beliau turut memaklumkan hasrat kerajaan untuk menyediakan biasiswa kepada lima rakyat Palestin dalam bidang kejuruteraan rangkaian dan radio di Malaysia.
Pada Oktober lepas,Fahmi memaklumkan bahawa biasiswa itu bertujuan membantu rakyat Palestin membina semula rangkaian komunikasi yang musnah akibat serangan rejim Zionis Israel,khususnya di Gaza.
Dalam pertemuan dengan Gungubele,beliau berkata perbincangan turut menyentuh Lawatan Negara Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan pada Oktober lepas,selain peluang kerjasama dalam sektor telekomunikasi.
“Kita lihat ada beberapa perkara yang telah berjaya dilaksanakan di Malaysia yang mungkin boleh dibawa untuk perbincangan dengan rakan-rakan di Afrika Selatan.
“Saya dapati dalam beberapa aspek,mereka amat kagum dengan keupayaan Malaysia bukan sahaja melaksanakan rangkaian 5G dengan sangat pantas,tetapi turut menawarkan harga internet yang sangat murah,” katanya.
Pertemuan itu turut dihadiri Duta Malaysia ke Azerbaijan Ahmad Kamrizamil Mohd Riza,Timbalan Pengarah Urusan (Kawal Selia dan Korporat) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Datuk Zurkarnain Mohd Yasin,serta Setiausaha Bahagian Teknologi Komunikasi Kementerian Komunikasi Ahmad Ahmad Norhad Zahari. - BERNAMA
SOUEAST returns to Dubai Fashion Week as official automotive partner, redefining aesthetics of mobility
Pengaruh Thailand dengan berjuta-juta pengikut berpusu-pusu ke Gunung Emei untuk perkhidmatan kebudayaan dan pelancongan bertaraf antarabangsa, menjadikannya tarikan utama
Daripada Bon Perbendaharaan AS kepada Komoditi Fizikal: BullNus Cuba Membina Kitaran Tertutup Perniagaan RWA Berpacukan "Dunia Fizikal"
Pelindung dalam Pasaran Volatil: Kepentingan 'Copy Trading' Terjamin Modal Websea
RF RACER Brand Leverages Motorsport Heritage for Engineering Excellence
Paradigma Baharu untuk Laluan Pengundian: Daripada Pengagregatan Maklumat kepada Pengaset Konsensus, Penentuan Kedudukan dan Pelaksanaan Praktikal OracleX.
©hak cipta2009-2020 Forum Teknologi Malaysia Timur