2025-02-12 IDOPRESS
FOTO HIASAN
KUALA LUMPUR,12 Februari- Sektor perkhidmatan Malaysia mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 6.3 peratus kepada RM2.4 trilion pada 2024 berbanding RM2.3 trilion pada tahun sebelumnya,kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.
Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata prestasi kukuh itu sebahagian besarnya dipacu oleh pemulihan berterusan industri berkaitan pelancongan,disokong oleh ketibaan 25 juta pelancong antarabangsa dan peningkatan aktiviti perjalanan domestik.
Segmen perdagangan borong dan runcit,makanan dan minuman (F&B),penginapan kekal sebagai penyumbang utama,disokong oleh permintaan pengguna yang berterusan dan peningkatan aktiviti pelancongan.
Sementara itu,sektor perkhidmatan merekodkan pertumbuhan hasil sebanyak 6.2 peratus kepada RM627.9 bilion pada suku tahun keempat 2024.
Mohd Uzir berkata pertumbuhan sebanyak 6.2 peratus itu disumbangkan oleh prestasi memberangsangkan dalam semua segmen sektor perkhidmatan,didorong oleh perkembangan dalam perdagangan borong dan runcit,F&B dan segmen penginapan,yang meningkat sebanyak RM24.3 bilion atau 5.4 peratus kepada RM475.2 bilion.
Katanya,pertumbuhan sektor perkhidmatan dipacu oleh peningkatan perbelanjaan pengguna,peningkatan aktiviti makan di luar dan kadar penginapan hotel yang lebih tinggi.
“Pertumbuhan berterusan itu disokong oleh peningkatan sebanyak 17.0 peratus tahun ke tahun dalam ketibaan pelancong antarabangsa,dengan tambahan 2.5 juta pelancong,serta lonjakan perjalanan domestik semasa musim cuti turut menyokong pertumbuhan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Prestasi sektor perkhidmatan turut diperkukuhkan oleh segmen maklumat dan komunikasi,penyimpanan dan pengangkutan yang meningkat sebanyak 6.5 peratus tahun ke tahun kepada RM87.2 bilion pada suku keempat 2024.
Dalam pada itu,segmen profesional,hartanah,perkhidmatan sokongan dan pentadbiran mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 10.8 peratus tahun ke tahun pada suku tersebut,didorong oleh peningkatan aktiviti perniagaan dalam aktiviti utama seperti perakaunan,guaman,seni bina dan perkhidmatan veterinar.
Mohd Uzir juga berkata pendapatan e-dagang pada suku keempat 2024 berjumlah RM310.2 bilion,meningkat sebanyak 3.7 peratus tahun ke tahun,didorong oleh kenaikan sebanyak 7.7 peratus dalam sektor perkhidmatan.
“Pertumbuhan ini mencerminkan pertumbuhan berterusan aktiviti e-dagang dalam menyokong hasil perkhidmatan dan aktiviti pengguna.
“Bagi perbandingan suku tahunan,e-dagang mencatatkan peningkatan sederhana sebanyak 0.8 peratus,” katanya.
Menurut jabatan itu,jumlah gaji dan upah meningkat sebanyak 3.9 peratus tahun ke tahun kepada RM33.3 bilion,disumbangkan oleh subsektor perdagangan borong dan runcit serta pengangkutan dan penyimpanan yang masing-masing meningkat sebanyak 3.7 peratus dan 4.9 peratus.
Dari segi perbandingan suku tahunan,gaji dan upah meningkat sebanyak 0.9 peratus.- BERNAMA
Global Times: Japanese civil group urges Tokyo to 'face history' through exhibitions of Japanese chemical warfare in WWII
Global Times: Japanese textbooks contain misleading descriptions regarding the causes of WWII, says Japanese civil group
Ringgit terus meningkat berikutan ketidaktentuan tarif
Niaga hadapan emas terus meningkat susulan jangkaan potongan kadar faedah Fed
Indeks harga seunit besi catat penurunan pada Mei 2025 - DOSM
Sarawak sedia beralih ke pembelajaran digital
©hak cipta2009-2020 Forum Teknologi Malaysia Timur